Part 3: Istihalah dan Istihlak dalam Pembuatan Ubat Clexane

 Saya sebenarnya dalam proses menunggu CO-SV saya siap memeriksa tesis saya yang berjumlah 350 muka surat. Dengan kesibukan beliau, saya berdoa Allah melapangkan waktu buat beliau agar mempercepatkan revision ke atas tesis saya. Saya juga mengejar Tarikh yang diberi oleh university. Harap-harapnya saya berjaya menyerahkan tesis kepada Universiti akhir Feb 2021. Tolong doakan saya ya kawan-kawan. Jadi, sementara menanti, saya fikir ada baiknya juga saya menulis secara santai. Selain itu, saya manfaatkan peluang medsos untuk berbisnes kecil-kecilan.

Baiklah, dalam kajian tesis saya, kedua-dua metodologi ini turut dijadikan sebagai prinsip Syariah dalam berdepan dengan isu khinzir yang menjadi asas kepada ubat pencair darah tersebut walaupun kedua-duanya hanyalah sebagai justifikasi sokongan sahaja bukan yang utama. Perlu diketahui ya, istihalah dan istihlak ini antara isu sensitive dan tidak diterima oleh Mazhab Syafie dalam proses pengeluaran (istinbat) hukum. Mazhab Syafie hanya mengiktiraf beberapa kejadian sahaja dalam bab Istihalah.

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, LMWH atau di bawah kumpulan Enoxaparin Sodium atau dalam Bahasa pasarannya ialah Clexane, diperbuat dari tisu mukosa khinzir. Daripada bentuk lapisan tisu yang diperolehi daripada usus besar khinzir (sabar..sabar..saya tahu anda geli mendengarnya :D), setelah diproses dengan bahan-bahan kimia yang lain, terhasillah dalam bentuk liquid. Bagi yang bukan dari latarbelakang sains, sodium itu bermaksud garam ya. Maksudnya, dari segi rupa tisu mukosa khinzir juga sudah tidak dapat dijejaki lagi. Ya, hanya sekadar itu, ulama fiqah mengatakan itu ialah proses istihalah.

Istihalah dari segi bahasa حاول ialah berubah dari sesuatu kepada sesuatu yang lain. Ahli linguistic seperti Al-Fayyumi dan Al-Razi menyatakan, perkataan istihalah juga disamaertikan dengan makna انقلب ataupun تغير bermakna berubah kepada sesuatu yang lain. Manakala dari segi terminology, istihalah bermaksud perubahan dari seuatu benda kepada sesuatu benda yang lain dan tidak boleh direverse kepada bentuk asalnya lagi seperti menukar kotoran kepada habuk (Qal’ahjiyy).

Manakala, istihlak pula bermakna, mereput atau terurai menjadi sesuatu yang lain. Contoh: seekor babi mati di atas tanah dan selepas beberapa waktu, jasad babi itu terurai dan mereput menjadi tanah juga. Di samping itu, istihlak juga membawa maksud proses perubahan daripada polimer kepada monomer.

Jadi, jelaskan makna kedua-duanya.

Wujudkah ayat Al-Quran menggambarkan tentang konsep istihalah? Ya, wujud. Contohnya Surah al-Nahl ayat 66,

وَإِنَّ لَكُمۡ فِي ٱلۡأَنۡعَٰمِ لَعِبۡرَةٗۖ نُّسۡقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهِۦ مِنۢ بَيۡنِ فَرۡثٖ وَدَمٖ لَّبَنًا خَالِصٗا سَآئِغٗا لِّلشَّٰرِبِينَ  ٦٦

Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu benar-benar terdapat pengajaran bagi kamu. Kami memberimu minum daripada apa yang berada dalam perutnya (berupa) suatu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orangorang yang meminumnya                             (Al-Quran. Al-Nahl 16: 66)

Prof Madya Dr Saadan Man, Prof Madya Dr Izhar Ariff menukilkan di dalam jurnal mereka bahawa “Susu ini terhasil dari makanan yang dimakan oleh haiwan tersebut yang kemudiannya diproses yang mana sebahagiannya menjadi darah, daging dan susu, manakala selebihnya menjadi najis.”

Sebahagian ulama berpendapat bahawa ayat al-Nahl ayat 66 juga berperanan dalam menjadi salah satu proses penyucian bahan bernajis, jika kulit binatang disamak ia akan menjadi suci dan jika arak itu bertukar menjadi cuka secara semulajadi juga menjadi halal. Kejadian-kejadian itu termasuk pentafsiran ayat itu. Bagaimanapun, mazhab syafie menambah sedikit pengecualian pada kulit bianatang yang disamak KECUALI BABI DAN ANJING. Dengan demikian, ubat Clexane jika menurut mazhab Syafie tidak termasuk dalam kategori istihalah yang diharuskan oleh ulama Syafi’iyyah.

Berbeza dengan mazhab Hanafi, Maliki dan Ibn Hazam, mereka ialah mazhab yang lebih bersikap lebih terbuka dalam isu istihalah dan istihlak. Mereka berpendapat istihalah dan istihlak dikira sebagai salah satu proses penyucian bahan bernajis. Hal ini kerana, manhaj Hanafiyyah, Malikiyyah dan Zahiriyyah berpegang kepada sebab (’illah) kepada sesuatu hukum. Contohnya, jika babi itu sudah musnah/terurai/hancur/cair dalam produk itu seperti Ubat Clexane itu, maka ‘illah’ iaitu sebab kepada makna kewujudan babi itu sudah hilang, bahkan yang wujud ialah sabun atau kasut atau makanan atau ubat, maka zat babi tadi juga sudah hilang, seterusnya, hukum babi itu seharusnya dihukumkan sudah tiada juga.

Mengikut Muhammad Al-Hanafiyyah, sesuatu yang najis apabila berubah dan bertukar sifat dan zatnya, maka terkeluarlah daripada keadaan najis kerana najis adalah nama bagi sesuatu yang disifatkan. Apabila sesuatu yang disifatkan itu telah tiada, maka tiadalah sifatnya seperti arak bertukar menjadi cuka. (Prof Madya Dr Izhar Ariff di dalam jurnalnya Istihalah dan Kesannya kepada Makanan menurut Perspektif Islam). Bolehlah cari ye mana-mana jurnal yang bertajuk istihalah kat internet bagi sesiapa yang berminat 😊

Mazhab Syafie pula tidak berpegang kepada pendapat ini kerana metodologi yang digunakan ialah istishab iaitu pengeluaran hukum mestilah berdasarkan hukum pada bahan mentah (raw material) sesuatu produk. Jika produk dibuat daripada babi, ia tetap dinilai sebagai haram meskipun DNA sudah dibuang sekalipun.

Di bawah ialah kesimpulan tentang konsep istihalah yang diillustrasikan menerusi diagram di bawah. Diagram tersebut sebahagian yang disedut dari kajian tesis PhD saya.



 Ohya, pembahagian istihalah juga banyak ye. Jika anda semua tinjau kajian Prof Dr Aizat Jamaluddin dalam kajian beliau juga akan dapati jenis bagaimanakah istihalah yang diharuskan dengan lebih detail dari segi saintifik. Masya Allah!

Istihalah ini terbahagi kepada 2 jenis secara umum: 1) Istihalah Tammah/ Kulliyyat 2) Istihalah Naqisah/Juziyyah.

 Istihalah tammah bermaksud perubahan secara sempurna yang mana DNA pun tak mampu dijejaki lagi. Imam Nawawi juga berada pada pendapat ini.

Istihalah naqisah pula hanya berlaku perubahan tanpa membuang ciri-ciri seperti DNA lagi.

Di mana pula konsep istihlak di dalam pembuatan ubat Clexane? Ia ditemui dalam proses depolymerization (pengecilan molekul dari high molecule dari porcine base heparin kepada low molecular weight heparin). Paling mudahnya, cuba perhatikan gambar yang diambil dari Bala (2009) di bawah:


 


Dr Farhani di dalam tesis PhD pada tahun 2017 juga menyatakan, istihlak juga membawa maksud pemecahan molekul tinggi kepada molekul kecil. Contohnya seperti molekul air:

H₂O → H₂ + O₂ 

Water → Hydrogen + Oxygen

 

Jadi, saya sebagai pengkaji kepada ubat ini berpendapat, proses istihlak juga berlaku di dalam pembuatan ubat ini, bukan sahaja proses istihalah.

Rumusan:

Disebabkan itulah, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dengan tegas menyatakan hukum ubat Clexane dari kumpulan LMWH ini tetap haram kerana ia tidak terlibat dalam istihalah yang dikecualikan oleh Mazhab Syafie.

Persoalan:

Bagaimanapun, di dalam kajian PhD ini, saya mencari kepada solusi fiqah. Bukan hanya sekadar berpuas hati apabila hukum sudah dikeluarkan. Hal ini kerana, unit O&G tidak menafikan bahawa ubat pencair darah LMWH seperti Clexane amat diperlukan oleh setiap hospital pada hari ini kerana mengandung itu sendiri sudah menjadi potensi besar untuk seorang ibu dapat penyakit VTE/embolism/blood clot/darah beku. Sedangkan ubat Clexane itu dibuat daripada tisu mukosa babi. Adakah Islam sudah menutup pintu ijtihad dalam bab ini? Jika anda mengkaji lebih dalam tentang hukum-hakam babi, sudah tentu anda juga akan terkejut kerana ada mazhab fiqah menyatakan babi itu suci sewaktu hidupnya. Udah! Lagi kalut kan hampa bagi yang tidak biasa dengan isu ini. Bukan hendak mengangkat pendapat mazhab lain. Tetapi saya menilai kerahmatan di sebalik khilaf di kalangan mazhab fiqah. Lepas dalam kita belajar, lebih berlapang dada kita dengan pandangan yang masih didasari oleh hujjah-hujjah Quran dan Sunnah. Walaubagaimanapun, saya juga melihat ada relevansasinya Majlis Fatwa Kebangsaan berpegang kepada pendapat haram kerana dari segi Fiqh Maalaat nya, dapat menjaga dari pihak-pihak yang suka mengambil kesmepatan untuk berbisnes dengan galaknya tanpa alasan yang syar’ie.

Pada pandangan saya, ubat Clexane telah melalui proses istihalah tammah dan istihlak. Dan, kedua-dua metodologi itu dijadikan sebagai justifikasi sokongan sahaja, bukan justifikasi utama. Seterusnya, saya akan menghuraikan justifikasi utama saya dalam kes ubat clexane terhadap wanita mengandung dan selepas bersalin (terutama bagi mereka yang berisiko tinggi dan pertengahan).

Sekian, terima kasih kerana sudi membacanya sehingga ke noktah yang terakhir. Nantikan perkongsian akan datang pula ye :P

 

Zizi Azlinda Mohd Yusof,

Calon PhD Syariah.

USIM.

Comments

Popular posts from this blog

Petanda Suci Selepas Haid & Nifas

Solat & Wuduk Wanita Yang Bermasalah Keputihan

Part 2: Berkenalan dengan 3 Jenis Ubat Pencair Darah yang digunakan di Malaysia kepada Ibu Mengandung dan Selepas Bersalin