Part 1: Ubat pencair darah bermolekul rendah berasaskan babi (Low molecular weight heparin-LMWH) semasa mengandung dan selepas bersalin dari segi perspektif Fiqh
Ini ialah tajuk tesis PhD saya. Tesis masih dalam pemeriksaan co-supervisor, Yang Berbahagia Dr Nur Zaireena Zainal, seorang doktor pakar sakit perempuan O&G dan juga pensyarah medik di FPSK, USIM. Doakan ye semoga dapat dihantar sebelum bulan Mac 2021. Amin.
Kita semua sedia maklum bahawa apa sahaja item atau produk yang berasaskan babi di Malaysia terutamanya akan mendapat perhatian dan liputan yang sengit kerana ia bersumberkan binatang yang diharamkan Allah, bahkan majoriti ulama fiqah menetapkan babi itu najis mughallazah. Najis berat. Malaysia pula sangat agresif dan sensitif dengan bahan-bahan yang tidak halal. Manakan tidak, nama Malaysia disebut dalam satu pencapaian demi satu pencapaian dalam mendepani hub halal peringkat internasional. Bahkan, Malaysia menjadi best example untuk standard pemakanan halal oleh United Nations sejak 1997 lagi (Shahar et al., 2019).
Ubat LMWH ini di bawah kumpulan Enoxaparin Sodium, iaitu kajian kes studi saya juga dikenali sebagai Clexane. Jika LMWH di bawah kumpulan Tinzaparin sodium, namanya di pasaran farmasi ialah Innohep. Disebabkan kajian kes studi saya ialah Enoxaparin, anda akan mendapati sesekali nama Clexane juga disebut. Ubat ini bertujuan untuk mencairkan darah kepada golongan-golongan yang menhadapi masalah darah tersumbat kepada lelaki atau perempuan yang berisiko.
Untuk pengetahuan semua, fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia sudah dikeluarkan ke atas ubat tersebut sejak 10 tahun yang lalu. KKM juga ada Clinical Practical Guideline (CPG) sejak tahun 2003 dan Training Manual semasa mengandung dan selepas bersalin yang memuatkan penggunaan ubat pencair darah tersebut yang telah di renew pada tahun 2018. Muzakarah Fatwa kebangsaan menyatakan, "Penyakit darah tersumbat (Venous Thromboembolism- VTE) boleh membawa maut, jadi penggunaan ubat LMWH adalah diharamkan kecuali dalam keadaan darurat...Sebaliknya, dicadangkan pesakit menggunakan ubat yang halal yang terbukti keberkesanannya dengan LMWH iaitu Fondaprinux." Fondaparinux atau nama pasarannya ialah Arixtra ialah ubat pencegah darah yang halal kerana tiada sumber binatang. Bagaimanapun, keselamatan profilnya tidak kuat kerana, sebagian eksperimen ke atas tikus, ubat Fonda tersbeut melepasi uri dan menyebabkan fetus tikus itu cacat. Manakala sebahagian eksperimen mendapati tiada sebarang perpindahan kesan sampingan ke atas bayi. Disebabkan itu, Fonda menjadi pilihan terakhir dalam rawatan ke atas ibu-ibu berisiko VTE.
Bagaimanapun, statistik perankaan bancian negara pada tahun 2016/2017 melaporkan kematian di kalangan ibu-ibu ialah disebabkan VTE atau embolism. Jadi, dari sini bermula sebuah pencarian saya sebagai pengkaji yang berlatar belakangkan syariah. Malaysia memang tidak akan menerima sebarang keputusan untuk menghalalkan setiap produk yang menggunakan babi meskipun produk itu sudah melalui proses istihalah. Pernah dengar istihalah? Nanti saya akan kupas tajuk istihalah di lain hari. Hari ini, mungkin hanya untuk mengetahui di mana silapnya kenapa punca kematian ibu-ibu di Malaysia disebabkan oleh VTE?
Saya mengumpul data-data dari participants kajian ini iaitu terdiri dari 3 bidang; medikal, farmaseutikal dan syariah. Untuk medikal, kami menemubual dengan 10 orang pakar medik (7 orang pakar O&G, seorang pakar hematology dan seorang pakar kardiovaskular). Dari bidang farmaseutikal pula, peserta yang ditemubual ialah 3 orang, 2 orang pensyarah universiti dalam bidang pharmacological dan pharmaceutical manakala seorang lagi, bekas ketua persatuan Medik Malaysia. Terakhir, kami menemubual 8 orang pakar syariah yang terdiri dari 2 orang mufti dan 6 orang ahli akademik di universiti-universiti awam Malaysia.
Setelah mengumpul data-data primari dan juga di sahkan (triangulation) dengan dokumen-dokumen seperti journal dan buku-buku, saya mendapati:
1) saringan risiko-risiko untuk VTE di kalangan ibu mengandung dan selepas bersalin mungkin kurang digiatkan
2) LMWH itu ditakuti untuk digunakan kerana asasnya babi walaupun dalam dalam CPG menjelaskan, pada peringkat rawatan pencegahan sudah boleh dimulakan dengan LMWH bagi mereka yang risiko pertengahan (moderate risk) walaupun tidak memasuki tahap high-risk. Bagaimanapun, ibu-ibu yang berisiko seerhana perlu mendapatkan pemeriksaan dan pengesahan dari doktor pakar terlebih dahulu.
3) LMWH juga sudah dikeluarkan fatwa tentangnya. Jadi, doktor-doktor medik O&G Muslim biasanya akan terkeliru juga dengan fatwa yang mengatakan boleh digunakan semasa darurat sahaja. Apa parameter darurat? Bukankah high risk itu darurat? Jadi, mengapa CPG KKM mencadangkan sewaktu moderate risk juga boleh diprekripsi LMWH yang berasaskan babi itu? Bila terjadi begini, "Eh Clexane , Tinzaparin diharamkan oleh Majlis fatwa lah...baik kita guna yang halal iaitu Unfractionated Heparin (UFH)". UFH ini perlu pada keadaan tertetntu tetapi untuk hasil yang lebih efektif, kurang risiko bleeding, tiada kesan pada pereputan tulang, LMWH secara saintifik lebih berkesan.
4) Mungkin juga...perlu diwujudkan fatwa khusus kepada ibu mengandung selain diumumkan kepada semua jenis VTE kerana VTE biasa terjadi kepada pesakit-pesakit jantung. Bahkan, pregnancy dan postpartum itu sahaja sudah menjadi potensi besar kepada pembentukan darah beku. Ini kerana, perubahan fisiologi dan hormon pada badan wanita itu adalah fitrah, yang mana darahnya akan menjadi beku sebagai persediaan semasa bersalin. Semasa bersalin, darah akan keluar banyak jadi, Allah swt menciptakan agar darah wanita mengandung menjadi pekat dan likat berbanding keadaan tidak mengandung.
5) Harga LMWH berada pada pertengahan antara harga UFH dan Fondaprinux. Harga Fondaparinux yang paling mahal. UFH paling murah dan LMWH pada pertengahan.
Sudah panjang pula rasanya tulisan ini. Walaupun percubaan menulis tentang kajian tesis PhD saya ini tidaklah diolah dalam bahasa ilmiah, namun saya harap mesej perbincangannya sampai kepada para pembaca.
Saya akan bincangkan dari segi perspektif fiqah tentang ubat LMWH ini pada post akan datang ye. Sekian sahaja untuk kali ini.
Calon PhD Syariah USIM,
Zizi Azlinda Mohd Yusof.
Terima kasih di atas pencerahan
ReplyDeletealhamdulilllah...mohon share lagi berkiatan halal dalam perubatan dan pembuktian sains jika ada
ReplyDelete