Langkah Bermula


Langkah bermula!

Dahulu, langkah ini sangat kabur bagiku. 
Sekabur kabus menghalang perjalanan kenderaan. 
Wajarnya kuhentikan seketika jika sudah terlalu tebal. 
Namun, hentian yang sungguh lama merobek diri,
dek sangkaku kudrat yang tipis dan bilis,
akhirnya mematikan kemahiran ber'pedang',
Kadang, tampak sinar menyelit dan menyapa kornea mataku, 
kuteruskan langkah,
dalam lemah dan longlai,
dalam lesu dan galau,
dalam miskin dan kedana.
Ibarat pahlawan kecil yang tidak mahu berlatih perang.
Kuterduduk kemudian terlena.

Namun, 
Pabila semangat diri dipijak oleh mehnah dan tribulasi,
ujian hidup bertalu menembak kutiada melawan,
peluru sangat banyak, tidak mahir dioptimumkan,
hanya melihat pahlawan-pahlawan lain berperang,
melindungi diri dan membina benteng diri,
bahkan kubu mereka semakin kebal.

Setelah sauh koreksi dihujam jauh nun di lautan hati,
Ah! Betapa seorang aku amat rugi,
Mengapa sayangkan kelemahan diri,
Malas berlatih sebagai pahlawan virus memakan diri,
Lantas saban hari diri dan semangat dalam terus melemah lagi,
lagi dan lagi.

Kini, kucuba bangun penuh kepayahan,
loreng-loreng bertaburan seluruh badan,
luka-luka menjadi hiasan merah,
Namun kali ini,
takkan kubiar semangat diri melemah lagi,
Akan kubangkit meski ia sungguh menyeksakan,
Kerana darahku darah pahlawan!

Semangat Pak Belang bakal mengaum,
Garang dan tangkas,
Aku seorang pahlawan,
rohaniah dan lahiriah,

Detik ini...
meskipun beraral melintang,
berpatah sayap,
Ngauman menggegar alam maya,
Langkah bermula!


Zizi Azlinda Mohd Yusof.
31/8/2016
3.26pm
Taman Ampangan, Seremban.

Comments

Popular posts from this blog

Petanda Suci Selepas Haid & Nifas

Solat & Wuduk Wanita Yang Bermasalah Keputihan

Part 2: Berkenalan dengan 3 Jenis Ubat Pencair Darah yang digunakan di Malaysia kepada Ibu Mengandung dan Selepas Bersalin