Wanita dan Zakat Fitrah



Zakat fitrah merupakan zakat badan atau dikenali juga dengan nama sedekah fitrah yang wajib dikeluarkan oleh orang Islam pada bulan Ramadan. Berdasarkan Abdullah bin Umar r.a , maksudnya:

Rasulullah memfardukan zakat fitrah dengan kadar satu sha’ (gantang) daripada kurma atau satu sha’ (gantang) gandum kepada hamba, orang merdeka, lelaki dan wanita , kanak-kanak dan dewasa daripada orang Islam dan Baginda menyuruh menunaikannya sebelum orang-orang berangkat ke tempat perlaksanaan solat,” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hikmah Zakat Fitrah

Hikmah yang terselindung di sebalik kewajipan perlaksanaan zakat fitrah ini antaranya dapat menyucikan orang yang berpuasa dari perkataan sia-sia atau kotor dan sekaligus memberi kegembiraan kepada orang-orang miskin.

Ibn Abbas r.a berkata: “Rasulullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah sebagai bentuk penyucian bagi orang yang berpuasa dari perkataan yang keji atau kotor, dan untuk member makan kepada orang miskin,” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Al-Syarbini, pengarang kitab al-Iqna’ mengibaratkan kedudukan zakat fitrah dalam bulan puasa seperti sujud sahwi dalam solat, yakni zakat fitrah mampu menampung kekurangan dalam ibadah puasa kita sepertimana sujud sahwi menampung kekurangan dalam ibadah solat (al-Iqna’, Juzuk 1, Kitab Zakat, ms227)

Ada riwayat mengatakan:

“Buatlah mereka tdak mengemis pada hari ini,” (Riwayat Bukhari, (1442), Muslim, (1010))

Syarat Menunaikan Zakat Fitrah

Al-Syarbini menjelaskan terdapat 4 syarat yang perlu dipenuhi sebelum menunaikan zakat fitrah iaitu:
1.    Islam
2.    Tenggelam sepenuhnya matahari pada hari terakhir Ramadhan.
3.    Ada lebihan dari keperluan pokok dirinya dan keluarganya pada malam hari raya dan siangnya
4.    Merdeka

Siapa yang Wajib Berzakat Fitrah?

Wajibkah wanita menunaikan zakat fitrah untuk dirinya sendiri? Mengikut hadis Abdullah bin Umar r.a di atas, jelas difahami bahawa semua lapisan orang-orang Islam diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah iaitu:-
1.    Hamba (Tuan hamba wajib membayar bagi pihaknya menurut Imam Syafii)
2.    Merdeka
3.    Lelaki
4.    Wanita
5.    Kanak-kanak
6.    Dewasa

Ulama berbeza pendapat samada suami wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk isteri, anak-anak dan hamba atau mereka perlu mengeluarkan zakat fitrah untuk diri masing-masing. Bagaimanapun, mengikut mazhab Syafii dan beberapa pendapat lain seperti Maliki, Al-Laith, Ahmad dan Ishaq, suami wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk setiap tanggungan yang berada di bawahnya.

Kes-Kes Wanita Seputar Zakat Fitrah

1.    Si suami tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri yang belum dicampuri kerana memang belum wajib bagi suami itu memberi nafkah kepadanya.
2.    Andai si isteri nusyuz (derhaka) pada waktu hendak membayar zakat fitrah tersebut, maka si isteri wajib membayarnya untuk dirinya sendiri, bukan ke atas suaminya lagi.
3.    Jika isterinya ahli kitab, tidak wajib ke atasnya mengeluarkan zakat fitrah bagi isterinya kerana mengambil maksud dari sabda Rasulullah s.a.w “...dari kaum muslimin...”
4.    Jika dikurniakan anak atau berkahwin dengan seorang wanita atau membeli hamba sebaik sahaja masuk waktu Maghrib pada hari terakhir Ramadan, atau mati sebelum tenggelam matahari, maka kesemua situasi yang disebutkan tidak diwajibkan membayar zakat fitrah (Al-Syirazi, Muhadzzab, Juzuk 1, ms 542).

Waktu Membayar Zakat Fitrah    

Secara ringkasnya, waktu-waktu mengeluarkan zakat fitrah menurut mazhab Syafii seperti berikut:
1.    Wajib: Terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadan.
2.    Harus: Bermula masuk bulan Ramadan sehingga ke hari raya (sebelum terbenam matahari).
3.    Sunat: Pagi hari raya sesudah solat subuh dan sebelum keluar mendirikan solat hari raya.
4.    Makruh: Sesudah solat ‘eidulfitri tetapi sebelum  terbenam matahari pada hari raya.
5.    Haram: Melambatkan pembayaran zakat fitrah hingga selepas terbenam matahari pada hari raya.

Wahai umat Islam, prihatinlah perihal zakat yang diperintahkan ke atas kita agar aman dari azab Allah yang amat pedih.



 Zizi Azlinda Mohd Yusof.

Comments

Popular posts from this blog

Petanda Suci Selepas Haid & Nifas

Solat & Wuduk Wanita Yang Bermasalah Keputihan

Part 2: Berkenalan dengan 3 Jenis Ubat Pencair Darah yang digunakan di Malaysia kepada Ibu Mengandung dan Selepas Bersalin