Muhasabah Ramadhan, Hakikat Hari Raya dan Sambutannya Mengikut Sunnah
Dari samar-samar
cahaya lampu, seorang hamba Allah setia di atas sejadah. Riak wajahnya tenang.
Bangkit dari sujud tahajud yang panjang, dia duduk bersimpuh. Hatinya tidak
jemu-jemu bermunajat. Menangis penuh keikhlasan memohon keampunan Ilahi. Sekarang
dia berada dalam 10 hari terakhir Ramadhan. Tempoh terakhir inilah, orang-orang
beriman berlumba-lumba beribadat sepenuh hati. Dia tidak mahu ketinggalan
mengejar rahmat Allah yang mencurah-curah di bulan mulia ini.
“Adakah ibadah
puasaku diterima Allah? Bertemukah aku dengan lailatul qadar? Mampukah tarbiah
puasa kali ini mengecas bateri imanku agar ‘penuh’ menanti kedatangan Ramadhan
akan datang? Mampukah aku qiamullai setiap hari sepertimana kubangkit untuk
bersahur selama sebulan? Adakah aku benar-benar manfaatkan setiap saat Ramadhan
kali ini? Bagaimana andai kutidak ketemu lagi Ramadhan akan datang? Oh,
gusarnya hati ini Ya Rahman! Aku tidak akan sia-siakan masa yang berjalan sepanjang
10 malam terakhir ini…” Begitulah monolog seorang hamba, bermuhasabah ibadah
puasanya. Tiada seiapa yang tahu kecuali Tuan Empunya jasad dan rohnya, Allah
SWT.
‘Ah, aku mesti bersiap-sedia untuk menyambut eidulfitri kali
ini, agar selari mengikut sunnah,’ getus hatinya. Memorinya teringat kata-kata
manusia moden hari ini, ‘kita puasa sebulan, hah apalagi kita raya pun
sebulanlah!’ Hari ini, segelintir orang Islam menyambut hari raya seperti orang
jahiliah (maaf), kadang-kadang sama sahaja dengan cara orang bukan Islam.
Lihatlah di televisyen, pembaziran membeli-belah, pergaulan bebas,
bersalam-salaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram, wanita menyanyi dengan
suara mendayu-dayu, menonton rancangan tv berbentuk hedonis, ziarah dan
berseronok sampai solatnya hanyut! Itulah yang berlaku sepanjang umat akhir
zaman ini, oh manusia….
‘Sungguh tidak betul hakikat beraya begitu. Berhari raya
sememangnya perlu gembira tetapi setiap sesuatu ada batasnya. Bahkan, Islam
sudah menggariskan bagaimana orang Islam sepatutnya menyambut hari raya,’ hatinya
berbicara lagi.
Sebuah buku dicapai. Tajuk ‘Hakikat hari
raya dan sambutannya mengikut sunnah’ dibaca.
1.
Bertakbir (Bermula sebaik sahaja terlihatnya
hilal (maghrib 1 syawal) dan berakhir sehingga imam selesai berkhutbah di pagi
Syawal)
2.
Mandi solat sunat hari raya
3.
Makan walau sedikit sebelum menuju ke tempat solat sunat
hari raya
4.
Memakai pakaian yang terbaik
5.
Mengerjakan solat sunat eidulfitri dan mendengar khutbah
raya
6.
Mengucapkan lafaz
yang indah seperti; taqabbalallahu minna waminka (Semoga Allah menerima amalan
kami dan amalanmu)
7.
Berjalan
kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.
8.
Mengikuti
jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.
9.
mengerjakan
solat hari raya di kawasan lapang
10.
Bergembira
Pada Hari Raya Aidilfitri
11.
Mengerjakan
Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal
“Ya Allah, pimpinlah aku menuju syurga-Mu. Moga kehadiran syawal kali ini
tidak melalaikan aku untuk istiqamah menjaga hubungan dengan-Mu. Amin.” Hamba Allah
itu mengakhiri doa dan munajatnya dengan deraian air mata.
Selamat menyambut ‘eidulfitri mengikut sunnah!
Taqabbalallahu minna waminkum!
Zizi Azlinda Mohd Yusof
Comments
Post a Comment