Haji Wanita Haid


Terdapat empat larangan yang disepakati para ulama tanpa khilaf ke atas wanita haid iaitu solat, puasa, tawaf dan jimak. Apakah status haji wanita yang haid semasa haji dan umrah? Sahkah haji mereka semasa haid atau terpaksa pulang begitu sahaja? Junjungan Rasulullah s.a.w. telah member panduan lantas merungkai kerumitan kaum Hawa akhir zaman ketika sedang haji dan umrah. Lihat, betapa bertuahnya wanita muslimah hari ini kerana mempunyai panduan dari para sahabiah yang mengalami situasi yang sama pada zaman Rasul.

Wanita Haid Tunaikan Ibadah Haji & Umrah

Penulis mengutarakan beberapa buah hadith sahih yang digunakan sebagai sumber hukum oleh ulama terhadap wanita yang didatangi haid atau nifas semasa hendak mengerjakan haji atau sebelum selesai melakukan tawaf wada’. 

Pertama

Jabir meriwayatkan daripada Aisyah r.ha bahawa Rasulullah s.a.w menyuruhnya mengerjakan semua perlakuan umrah, berihram, berdiri di Arafah, mengerjakan semua perlakuan ibadah haji kecuali tawaf, dan melaksanakan tawaf setelah dia suci (dari  haid). (Syarah Muslim)

Kedua

Hadith yang ditujukan kepada Asma’ bin ‘Umais berbunyi: “Buatlah sebagaimana seorang yang mengerjakan haji buat kecuali tawaf di Baitullah.”

Penerangan:

Mengikut kitab Fiqh Islam wa Adillatuhu, Jilid 3, ms 162, Dr. Wahbah Zuhayli mengatakan berdasarkan hadith Aisyah dan Asma’ di atas, “Jika seorang wanita didatangi haid semasa hendak ihram, hendaklah dia mandi untuk berihram, kemudian berihramlah. Tidaklah perlu dia mandi selepas dia berihram tetapi hendaklah wanita itu memakai alas penutup pada kemaluannya agar tidak ada darah yang mengalir semasa berihram. Kerjakanlah haji sebagaimana perbuatan orang haji lakukan kecuali tawaf di Baitullah. Setelah wanita tersebut sudah suci dari haid, maka bolehlah dia kembali mengerjakan tawaf yang ditinggalkan.” Dipetik dari islamqa.info dari Fatwa Syeikh Muhammad bin Utsaimin, dalam 'Risalah 60 Soal Tentang Haid', “kemudian jika telah suci dia kembali lagi jika dia tinggal di negeri dua tanah haram (Arab Saudi) kerana untuk kembali (lagi) bagi dia mudah, dan tidak menyusahkannya dan juga tidak memerlukankan pasport.”  

Ketiga

Aisyah r.ha mengadu kepada Rasulullah, Safiyya bt Huyay didatangi haid. Rasulullah bertanya, “Adakah dia mengurung kita?” Aisyah r.ha menjawab, “Ya Rasulullah, dia (Safiyya) telah melakukan tawaf ifadah pada Hari Nahar,”. Rasulullah berkata, “Jika begitu, berangkatlah dia,” (Tanpa mengisyaratkan Safiyya untuk membuat Tawaf Wada’).

Dalam riwayat Ibn Abbas pula mafhumnya, “kecuali tawaf wada’, diringankan ke atas wanita haid dan nifas.”

Penerangan:

Bagi mereka yang mempunyai ciri-ciri di bawah, Islam telah menentukan hukum yang khusus lagi memudahkan wanita muslimah yang haid:-

1.    Tidak menetap di negeri dua tanah haram (Arab Saudi)

2.    Yakin dengan kuat bahawa dia sudah tidak mampu datang kembali ke Mekah tahun-tahun berikutnya kerana jauhnya perjalanan.

3.    Terpaksa pulang ke tanah air sedangkan masih lagi tidak suci dari haid.  
Hukum yang jelas ke atas wanita seperti di atas menurut jumhur ulama ialah mereka diharuskan membuat tawaf ifadah tujuh kali pusingan tanpa membuat tawaf wada’ dengan syarat, mereka wajib memakai apa-apa alas yang boleh menutup faraj dari mengalirnya darah haid semasa tawaf.

Dr. Wahbah menjelaskan di akhirnya, kepada wanita yang berada dalam situasi di atas, wajib ke atasnya badanah iaitu menyembelih seekor unta yang cukup lima tahun atau seekor lembu yang cukup dua tahun. Amalan ini mengambil dari pendapat Mazhab Hanafi yang mengatakan sahnya tawaf dalam keadaan haram (haid) apabila diiringi dengan kewajipan menghadiahkan badanah tadi.

Bolehkah Menggunakan Ubat Penahan Haid untuk Tunaikan Haji & Umrah?

Lujnah al-Daimah Lil Ifta’ dari Mawsoo’ah al-Fatwaa lil Mar’ah al-Muslimah mengeluarkan fatwa bahawa diharuskan memakan ubat penahan haid agar dapat menunaikan haji dan umrah. Syeikh Soleh Uthaimin juga berpendapat demikian. Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Min Hadyil Islam al-Fatawa al-Mu’asarah mengatakan pada zaman moden ini, wanita-wanita tidak perlu risau kerana di sekeliling Masjidil Haram, ada kedai-kedai yang menjual pil-pil penahan haid dan menggunakannya semata-mata untuk ibadah haji dan umrah ini adalah tindakan yang diharuskan, dengan syarat telah mendapat saranan dari para doktor bahawa pil tersebut tidak memudaratkan dirinya seperti boleh mencegah kehamilan dan sebagainya. Hal ini dibolehkan kerana ia termasuk situasi darurat.

Zizi Azlinda Mohd Yusof



Comments

Popular posts from this blog

Petanda Suci Selepas Haid & Nifas

Solat & Wuduk Wanita Yang Bermasalah Keputihan

Part 2: Berkenalan dengan 3 Jenis Ubat Pencair Darah yang digunakan di Malaysia kepada Ibu Mengandung dan Selepas Bersalin