Haid Tidak Teratur@Putus-Putus


Setiap wanita mengalami kebiasaan haid yang tersendiri. Masalah haid sememangnya patut diketahui dengan jelas. Mungkin wanita yang mengalami beberapa masalah berkaitan haid adalah diri-sendiri, isteri, ibu, kakak, adik perempuan atau saudara mara perempuan kita. Situasi haid seorang wanita wajib dipelajari kerana ia mempengaruhi hukum hakam kesahihan segenap ibadahnya sebagai contoh solat, puasa, haji, iddah, taharah, talak, khuluk, hubungan kelamin dan banyak lagi.

2 situasi wanita yang mengalami darah haid yang tidak teratur:

1.    Bertambah atau berkurangnya masa haid- Misalnya, kebiasaan tempoh haidnya ialah 7 hari tetapi pada bulan ini, darah haid hanya keluar 6 hari. Begitu juga sebaliknya, adat kebiasaannya ialah 7 hari tetapi pada bulan ini, darah keluar selama 8 hari.

2.    Cepat atau lambat datangnya haid- Misalnya, haidnya biasa berlaku pada awal bulan tetapi pada bulan lepas darah haidnya keluar akhir bulan. Begitu juga sebaliknya.

Solusi

Solusi kepada 2 situasi di atas dinukilkan oleh al-Darimi di dalam Al-Majmu' Syarhul Muhadzdzab di mana beliau berpendapat ‘illat (alasan) kepada hukum itu ialah kewujudan darah haid itu sendiri. Jika ada darah, maka hukumnya sedang kotor. Jika tiada darah, maka hukumnya sedang suci. Hukum ini juga menjadi pilihan Imam Syafii, Ibn Taimiah dan Ibn Qudamah, pengarang kitab Al-Mughni. Berdalilkan kepada mafhum firman Allah bermaksud:

"Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: "Haid itu suatu kotoran". Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka sebelum mereka suci" (Al-Baqarah :222)

Haid Putus-putus dalam satu tempoh haid

Terdapat satu lagi situasi yang agak sulit. Ia biasa terjadi kepada wanita-wanita iaitu sehari keluar darah, sehari lagi tidak keluar darah.

Solusi

Meneliti kajian mendalam para ulama, Syaikh Muhammad bin Shaleh al-‘Utsaimin meletakkan masalah tersebut kepada dua kondisi:

1.    Jika hal itu selalu terjadi pada setiap waktu, maka itu adalah darah istihadah. Berlaku hukum ke atas dirinya hukum istihadah; kembali kepada pendapat jumhur ulama ,15 hari kotor, 15 hari bersih.

2.    Jika hal itu berlaku kadang-kadang sahaja dan dia juga mempunyai adat kebiasaan yang tepat, maka sekali lagi para ulama berselisih pendapat dalam menentukan hukum di sini. Bagaimanapun, Imam Syafii, Ibn Taimiah dan Ibn Qudamah memilih untuk menetapkan bahawa selagi dalam adat tempoh haid, hari yang tidak keluar darah juga dihukumi masih haid, kecuali berlaku salah satu petanda suci pada dirinya iaitu keluarnya lendir putih atau darahnya kering pada akhir masa kebiasaannya.

Menurut Muhammad Nuruddin al-Makki, penulis buku Hukum dan Persoalan Darah-darah Haid, Nifas&Istihadah, Imam Syafii menambah 3 syarat untuk menghukum wanita itu masih dalam haid ketika hari darah tidak keluar dalam tempoh haidnya:

1.    Hari bersih dilingkungi antara 2 haid

2.    Tempoh bersih tidak melebihi 15 hari

3.    Darah yang keluar tidak kurang dari tempoh minimum haid iaitu sehari semalam.


Semoga dengan penjelasan ringkas ini membantu meleraikan kekusutan wanita-wanita mutahayyirah dan selamat beribadah dengan tenang.  

Comments

Popular posts from this blog

Petanda Suci Selepas Haid & Nifas

Solat & Wuduk Wanita Yang Bermasalah Keputihan

Part 2: Berkenalan dengan 3 Jenis Ubat Pencair Darah yang digunakan di Malaysia kepada Ibu Mengandung dan Selepas Bersalin