CELIK MATA HATI






Situasi 1

Apabila pulang ke rumah dari tempat kerja, kepenatan masih terasa walaupun sepanjang hari bekerja di dalam pejabat berhawa dingin. Selepas menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak, badan direbahkan di atas sofa sambil menonton rancangan televisyen. Muncullah rancangan-rancangan yang pelbagai. Hidangan kepada akal dan hati. Sayangnya, kebanyakan rancangan yang diatur banyak mengandungi serangan-serangan saraf yang boleh mengikis keimanan kita kepada Allah SWT. Namun, ramai manusia menonton dengan mata kasar tetapi tidak dengan mata hati.

TV A, pelakon wanita dan lelaki berani beraksi menyalahi syariat Islam. TV B, rancangan-rancangan yang kononnya cuba memaparkan realiti kehidupan metropolitan mendorong manusia berkata, “Inilah cara hidup kami!”, “Inilah realiti hidup masyarakat Kuala Lumpur!” Pelakon pula berkata, “Dah pengarah suruh berlakon macam itu!”, Sekarangkan dah moden, kami boleh pakai apa yang kami suka!”

Walaupun sedang menonton televisyen, sepatutnya fikiran sentiasa berfikir apa yang patut dilakukan untuk merawat krisis iman yang berleluasa hari ini. Apabila melihat bangunan, pokok, kayu, sungai, manusia, haiwan, serangga dan juga benda-benda yang tidak bernyawa, hatinya terus berzikir mengingat Allah Pencipta apa yang ada di langit dan di bumi.

Pembaca-pembaca yang budiman, serangan jahiliah melalui teknologi terlalu bahaya kerana ia menyerang minda, akal, hati dan prinsip kita. Lihatlah dengan mata hati yang beriman. Bukan sekadar bergelak ketawa bersama kawan-kawan dan keluarga semasa menonton TV tetapi fikir apa usaha yang telah dibuat untuk mengubah arus jahiliah moden ini. Aib-aib jahiliah umat islam sekarang semakin menebal. Setiap sudut menyerang iman dan taqwa Muslim semahu-mahunya! Inilah target musuh Islam. Mereka mahu umat Islam beramal dengan Islam separuh-separuh sahaja. Tidak perlu Islam keseluruhan! Cukuplah nama sahaja ala-ala Muslim. Tidak perlulah bersusah payah membina diri menjadi individu Muslim yang boleh mengembalikan kegemilangan Islam.  

Situasi 2

Seorang suami yang diminta membeli buah tembikai di pasar. Dia mendapatkan buah yang masak ranum. Setibanya di rumah, isterinya gembira melihat buah tembikai yang dibeli oleh suaminya. Apabila dibelah, tembikai itu tidak boleh dimakan kerana isinya sudah buruk.Isterinya marah-marah kerana menyangka suaminya tidak memilih dengan baik semasa hendak membeli.

Si suami kemudian bersuara, “Sekarang, aku ingin bertanya kepadamu, adakah kamu sangka aku mahu membeli tembikai yang buruk untuk keluargaku?”
Isterinya menjawab, “Tidak !”

“Jika ditanya kepada penjual tadi, adakah dia mahu menjual tembikai yang buruk-buruk?”
Isterinya menjawab, “Tidak.”

“Jadi, adakah kamu marah kepada Pencipta tembikai ini?” Si isteri terdiam mendengar soalan berbisa itu.

Jadi, terimalah ketentuan ini. Allah izin aku mengambil buah tersebut yang kusangka baik. Sedarlah, jika Allah menghendaki sesuatu, tiada siapa yang dapat menghalangnya.” Isterinya kemudian meminta maaf dengan suaminya dan berterima kasih kerana mengajarinya melihat sesuatu dengan hikmah. 

Pembaca-pembaca yang dirahmati Allah, marilah kita cermati setiap yang berlaku dengan mata hati agar hidup kita tenang!

CELIKLAH MATA HATIKU!

Comments

Popular posts from this blog

Petanda Suci Selepas Haid & Nifas

Solat & Wuduk Wanita Yang Bermasalah Keputihan

Part 2: Berkenalan dengan 3 Jenis Ubat Pencair Darah yang digunakan di Malaysia kepada Ibu Mengandung dan Selepas Bersalin