Bolehkah Wanita Menawarkan Dirinya untuk dinikahi?





Kebiasaan adat, lelakilah yang akan merisik seorang wanita untuk dijadikan pendamping dan penyeri kesunyian hidupnya. Namun, bagaimana kiranya seorang wanita pula yang merisik dan menawarkan dirinya untuk dinikahi? Dalam adat Melayu, pasti ada yang mula bergosip andai kedengaran seorang wanita menawarkan dirinya kepada seoranng  lelaki untuk dinikahi kerana  dianggap aib. Apa pula karakter lelaki yang ingin ditawarkan dirinya untuk dinikahi itu? Ulama telah menggariskan beberapa karakter lelaki yang menjadi pilihan hatinya dan juga apa yang akan dilakukan setelah mendapat jawapan daripada si lelaki. Bersama kita menjenguk kisah yang dengan izin Allah menjadi panduan buat Muslimat kini.
Lipatan sirah Islam pernah menukilkan kisah seorang wanita yang datang kepada Rasulullah lalu menawarkan dirinya kepada baginda Rasul s.a.w untuk dinikahi. Ketika itu Rasulullah sedang berada di rumah seorang sahabat r.a yang bernama Anas.

Diriwayatkan daripada Imam Bukhari di dalam sebuah hadis sahih yang berbunyi:-

Ali meriwayatkan kepada kami, daripada Abdullah daripada Marhum  berkata, aku mendengar secara thabit daripada al-Banani mengatakam, suatu  hari aku berada bersama Anas  r.a, bersamanya ada anak perempuannya.  Anas berkata, telah datang kepada Rasulullah s.a.w  seorang wanita menawarkan dirinya kepada Rasulullah. Katanya, “Wahai Rasulullah, adakah kamu berhajat kepada diriku ini?” Anak perempuannya terus berkata, “Alangkah kurangnya malu wanita ini dan  amat memalukan perbuatannya ini,” Anas berkata, “Dia lebih baik daripada kamu, dia berkehendakkan kepada  Rasulullah lalu menawarkan dirinya kepada Rasulullah.” (Sahih Al-Bukhari, no 5120 , Nasaie dan Ibn Majah)

Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW ( Sahih al-Bukhari, 7/15)

Imam Bukhari turut mendatangkan satu riwayat lagi pada hadis yang sama bahawa apabila Rasulullah hanya mendiamkan diri ke atas tawaran wanita itu untuk mengahwini diriya, seorang sahabat r.a yang berada di situ berkata, “Wahai Rasulullah, kahwinkanlah wanita itu dengan aku,” Rasulullah  kemudian bertanya, “Apakah kamu mempunyai sesuatu?” Dia berkata, “Aku tidak punya sesuatu.”

Kesimpulannya, Islam mengharuskan wanita merisik atau menawarkan dirinya kepada seorang lelaki  soleh yang ingin dijadikan suaminya. 

Jawapan Terbaik daripada Pemimpin Agung      
    
Rasulullah telah menunjukkan jawapan terbaik kepada risikan dan tawaran wanita tadi iaitu dengan cara (sukut) diam. Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan di dalam kitabnya, “Tidak patut bagi si lelaki tersebut menolaknya dengan cara terang-terangan, bahkan cukuplah dengan berdiam diri. Bukankah diam itu selembut-lembut cara dan paling  beradab untuk menolak tawaran seorang wanita?”(Fathul Bari, Syamila)

Syarat yang perlu ada pada lelaki yang ingin dirisik wanita  

1.    Lelaki Soleh
2.    Ketinggian ilmu
3.    Keutuhan agamanya
4.    Mulia akhlaknya

Syarat-syarat ini digariskan oleh ulama muktabar seperti al-‘Aini, al-Qastalani dan Imam Nawawi berdasarkan kata-kata daripada Anas r.a kepada anak perempuannya, “Dia lebih baik daripada kamu,”. Hal ini kerana wanita tadi menawarkan dirinya kepada Rasulullah atas dasar iman dan ketinggian peribadi Rasulullah s.a.w. Diseabkan  itu, wanita itu dilabelkan lebih baik oleh  Anas r.a. Abdul Karim Zaidan menghimpunkan pendapat-pendapat ulama di atas di dalam al-Mufassol fi Ahkamal-Mar’ah wal Baitil Muslim fi Shariah al-Islammiah, Juzuk 6, Ahkam al-‘A’ilah…, Bab Wanita Menawarkan Diri kepada Lelaki Soleh (ms 55&56).

Setelah wanita  tersebut mendapat jawapan  daripada lelaki soleh berkenaan tawarannya, wanita itu hendaklah diam dan menjauhkan diri dari lelaki itu.Ini kerana sekiranya lelaki itu menolak tawaran wanita terbabit, maka jauhkanlah dirinya dan tidak berterusan berterang-terangan menawarkan diri lagi. Kalaupun lelaki tersebut bersetuju, hendalah  wanita tersebut menjauhkan  diri daripadanya kerana sekiranya  benar lelaki itu bersetuju, nescaya dia akan melakukan proses seterusnya seperti berjumpa wali wanita itu, khitbah, taaruf dan akhirnya akad nikah.

Kesolehahan dan kelembutan wanita solehah tidak akan menghalangnya bersegera berbuat kebaikan kerana hati wanita yang takutkan Allah diletakkan kepada Allah s.a.w bukan kepada manusia. Islam tidak memandang hina kepada wanita solehah yang berani menawarkan dirinya kepada lelaki soleh untuk dinikahi atas jalan syarak.  

Zizi Azlinda Mohd Yusof.

Comments

Popular posts from this blog

Petanda Suci Selepas Haid & Nifas

Solat & Wuduk Wanita Yang Bermasalah Keputihan

Part 2: Berkenalan dengan 3 Jenis Ubat Pencair Darah yang digunakan di Malaysia kepada Ibu Mengandung dan Selepas Bersalin