Bukan Orang Alim Saja Perlu Tarbiah


Masya Allah! Tiada ungkapan yang mampu diucapkan apabila telinga ini menangkap berita-berita mengenai masalah kehancuran akhlak anak-anak muda hari ini. Perasaan terkejut mencekik aliran nafas ini apabila remaja berusia sepuluh tahun sudah tahu melakukan zina dan rogol mengganggap ia sebagai permainan sebagaimana dipelajari ketika bermain game di dalam komputer. Dalam dunia yang kononnya diiktiraf tingginya tamadun sains dan teknologi hari ini, berlambak-lambak ’game’ atau permainan yang direka lalu dimuatkan ke dalam komputer dan internet. Secara tidak sedar, sebenarnya game yang benar-benar mencabar ketinggian sebuah maruah peradaban ummah terlalu banyak. Salah satu daripadanya ialah game mengenai  bagaimana proses zina dan rogol.
Astagfirullahal’azim! Seorang teman bercerita kepada penulis, yang dia ada terbaca surat khabar yang melaporkan, seorang kanak-kanak berusia sepuluh tahun selepas bermain game yang menghina agama itu mangajak adik perempuannya yang berumur lima tahun untuk bermain zina atau rogol sebagaimana yang dipraktikkan dalam game tersebut. Alangkah rosaknya ummah jika sedari kecil sudah dimomokkan dengan serangan-serangan saraf yang tidak disedari oleh manusia. Idea siapakah ini yang mempunyai matlamat untuk merosakkan anak bangsa. Merujuk kepada berita itu, si anak perempuan menceritakan kepada ibunya apa yang telah dilakukan oleh abangnya. Kini, anak seusia sepuluh tahun yang masih tidak kenal lagi erti kehidupan ditahan di dalam pusat pemulihan dan dia sendiri tidak tahu apakah kesalahan yang dia telah lakukan menyebabkan dia terpaksa dibawa tinggal di tempat yang mana bukan rumahnya sendiri.
 Kembali kepada diri kita sendiri, apakah usaha kita ke arah memadam projek pemusnahan maruah dan identiti sebagai hamba Allah yang taat. Tidak dapat tidak, wajiblah ke atas mereka yang telah diberi kefahaman islam bangkit memerangi masalah-masalah keruntuhan akhlak dan sahsiah islam segenap cara. Allah Taala sudah pasti akan menyoal kita apakah usaha kita dalam memelihara sangkar dunia ini dari najis-najis kemungkaran? Apakah kita hanya mendengar dan mengeluh sahaja. Apakah kita hanya membincangkan isu-isu ummah ini kemudian balik ke bilik dan tidur dalam keadaan puas hati? Apakah kita hanya mengumpulkan isu-isu ini dan menangisi ia beramai-ramai? Apakah cukup hanya pemberita dan wartawan melaporkan dari hari ke hari dalam berita perdana, buletin utama, berita terkini dan dibincangkan di dalam forum-forum dan sebarang diskusi kemudian pulang ke rumah dengan semangat dan kesedaran hanya untuk sehari dua? Sudah tentu tidak bukan? Ya, sudah tentu tidak! Selaku manusia yang punya visi dan misi menegakkan kalimah Allah di alam ini, wajiblah ke atas kita berbuat sesuatu yang boleh membersih kemungkaran yang melata sekarang dengan tangan kita, tangan orang mukmin. Persiapkanlah dirimu wahai orang-orang beriman untuk menyerahkan dirimu kepada proses tarbiyah islamiyyah atau pendidikan acuan islam.
                  صِبْغَةَ اللّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدونَ [البقرة : 138[      
Maksudnya : (( Acuan Allah. Siapa yang lebih baik acuannya selain daripada Allah? Dan kepada-Nya kami menyembah))                                                                                               
                Perlunya kita kepada proses tarbiyah islamiyyah tidak dapat dinafikan lagi.
Proses tarbiyah tidak lain mahu mencetak manusia yang mempunyai fikrah atau pemikiran islam yang sebenarnya bukan yang bercampur-campur dengan doktrin-doktrin barat seperti Liberalisme, Sekularisme, Hedonisme, Materialisme dan Rasionalisme. Pemikiran atau ideologi seperti yang disebutkan terlalu merajai alam ini namun Pencipta alam ini telah berjanji bahawa akan sentiasa ada golongan yang akan menegakkan syariat-Nya dan mencegah kemungkaran.
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْراً لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ [آل عمران : 110[
Maksudnya : ((Kamu (umat islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang bermain, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasiq))
Betapa manusia hari ini ramai yang tidak menyedari bahawa diri mereka kehilangan sebutir permata berharga sebenarnya. Itulah Tarbiyah Islamiyyah. Tujuan dari proses tarbiyah islam juga untuk membentuk individu muslim iaitu mukmin sadiq (orang beriman yang sebenar). Al-Imam Hasan Al-Banna mengkhususkan istilah ’sodiq’ lantaran betapa ramai manusia yang mengakui beragama islam dan beriman kepada Allah tetapi tidak muncul dalam realiti beriman seperti yang Allah kehendaki.
Wahai manusia, marilah sama-sama kita memperjelaskan aqidah kita dengan bermula dari jiwa kita sendiri. Kenalilah Tuhanmu nescaya kita akan kenal hakikat kehidupan yang berliku ini. Hakikat diri kita, hakikat tujuan dijadikan dan hakikat ke mana kita akan pergi selepas kehidupan di atas dunia fana’ ini. Marilah bersama kita fahami profil mukmin sebenar agar hidup yang kita lalui sehari-hari bermakna dan diberkati Allah Taala.
Bagaimana untuk memproses diri kita agar menjadi mukmin sodiq? Persoalan ini sepatutnya dilontar oleh setiap insan yang ingin berubah dari kehidupan yang rosak dan kelam kepada kehidupan yang lebih  baik. Justeru, duhai manusia ketahuilah kalian bahawa kita tidak boleh ’skip’ dari satu sunnah Rasulullah SAW yang telah terbukti berjaya melahirkan tokoh-tokoh dunia yang sehingga hari ini termaktub nama, jasanya dan kisah hidupnya di dalam sejarah kegemilangan peradaban manusia. Sunnah itu ialah HALAQAH. Melalui kelompok-kelompok kecil yang dianggotai oleh beberapa orang duduk bersama-sama dan berdiskusi tentang permasalahan iman yang mana disebutkan oleh Al-Ustaz Mustafa Masyhur sebagai semulia-mulia permasalahan. Bukan hanya sekadar berbincang, tetapi perbincangan yang diiringi dengan perubahan diri sesungguh-sungguh hati dalam rangka memburu keredhaan Allah Taala. Hasilnya, lahirlah jati diri Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Faruq, Uthman dzun nurain, Ali karramallahuwajhah, Abu Dzar Al-Ghifari, Mu’az bin Jabal, Mus’ab bin Umair, Abdullah ibn Umar, Bilal bin Rabah dan seribu tokoh lagi yang berperibadi Mukmin Sodiq.
Walaubagaimana pun, proses tarbiyah tidak berhenti setakat mengikuti halaqah semata. Seorang murabbi berkata, DAKWAH itu ialah sebahagian dari proses tarbiyah. Jadi, tarbiyah tanpa dakwah tidak sempurna lagi. Begitu juga sebaliknya. Kedua-duanya perlu ada dalam proses tarbiyah islamiyyah barulah hidup sebuah keseimbangan. Dakwah islam perlu masuk ke segenap lapisan masyarakat tidak kira tua muda, kaya miskin, agama, bangsa malah seluruh alam. Mengenangkan gejala-gejala sosial semakin hebat kedengaran di serata tempat dan masa, apabila dakwah dan tarbiyah menguasai sesebuah tempat, maka tiadalah najis kemungkaran dan kejahilan yang berlaku apalagi di kalangan anak-anak islam. Mereka terlalu suci untuk mendapat tempias-tempias jahilyah yang direka oleh barat untuk merosakkan akidah, akhlak dan peribadi seorang muslim.

Zizi Azlinda binti Mohd Yusof.  

Comments

Popular posts from this blog

Petanda Suci Selepas Haid & Nifas

Solat & Wuduk Wanita Yang Bermasalah Keputihan

Part 2: Berkenalan dengan 3 Jenis Ubat Pencair Darah yang digunakan di Malaysia kepada Ibu Mengandung dan Selepas Bersalin