Oh! Tarbiah Dzatiah



Betapa kita wajib bersyukur kerana masih dipelihara Allah SWT hidup dalam udara iman dan Islam. Namun, semakin hari hati orang-orang islam hari ini kian dilanda  tsunami kegersangan iman. Ummat Islam sebenarnya hidup dalam iman yang sangat lemah. Bahkan kesihatan iman terlalu sakit dan kering sekiranya sudah berani berbuat maksiat terang-terangan. Saban hari, suara iman meronta-ronta minta diisi dengan makanan jiwa dan minuman tarbiyah islamiyyah.

Masalah Sebenar kita
Cuba kita ’pause’ sejenak...kita duduk bersama-sama sekejap dan beriman sejenak. Masya Allah! Kita ingat apabila kita sudah berada bersama-sama bersahabat dengan orang-orang yang berada di dalam proses tarbiyah islamiyyah, kita sudah masuk di dalam ’mesin’ tarbiyah tetapi mengapa amal ibadah kita semakin tenat? Solat kita semakin tidak khusyuk, Al-Quran kita tidak sampai satu juzuk sehari, zikir kita semakin berkurangan, doa yang kita baca selepas solah pun sekadar baca tidak memohon kepada Allah Taala sepenuh hati.

Melihat kepada dahsyatnya fenomena lemah iman hari ini, sebenarnya ia mendorong kita supaya memerhatikan setiap hari dan setiap detik kedudukan dan kesihatan hati dan jiwa kita. Sejauh mana dekatnya kita dengan Allah? Tidak dapat dapat, untuk tidak terperangkap dari sumur futur (lemah) kita mestilah melalui beberapa proses. Proses itu ialah dengan meningkatkan tarbiyyah imaniyyah dan tarbiyyah ruhiyyah yang mana boleh dirasai dan dihayati masuk menyerap ke dalam lubuk nurani apabila berlakunya proses tarbiyyah dzatiah.

Takrifan Tarbiah Dzatiah
Tarbiyyah dzatiah ialah tarbiyyah nafsiah yang mana hanya diri sendiri yang melalui proses tarbiyyah itu walaupun perit, pahit dan sakit proses itu tanpa pantauan dari murabbi atau mas’ul ataupun naqib. Kita sendiri yang kena paksa diri bangun solat pada malam hari, kita sendiri yang membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya tanpa ada paksaan atau pantauan naqib dan naqibah. Sememangnya jalan tarbiyyah ini sungguh getir laluannya namun penghujungnya menjanjikan kemanisan yang hanya dapat dirasai oleh orang-orang yang betul-betul masuk di dalam proses tarbiyah islamiyyah.

Ketahuilah, betapa pentingnya tarbiyyah dzatiah terhadap setiap jiwa-jiwa yang tunduk kepada tarbiyyah islamiyyah. Menyedari hanya ada dua pilihan sahaja tiada yang ketiga iaitu samada tarbiyyah islamiyyah ataupun tarbiyyah jahiliyyah sahaja, tiada tarbiyah campur-campur, kita perlu melakukan proses tarbiyyah dzatiah di dalam diri kita.
Kenikmatan tingginya ruh ber’ubudiyyah kepada Allah Taala hanya dapat di rasai oleh orang-orang yang merelakan dirinya masuk ke dalam proses tarbiyyah dzatiah. Orang-orang yang tunduk kepada proses tarbiyyah ini amat sukar dikalahkan oleh bisikan syaitan dan nafsu. Mereka tidak mudah futur malah hubungan mereka dengan Allah SWT semakin subur mewangi. Namanya harum di kalangan penghuni langit meskipun mereka bukanlah insan-insan yang disanjung di muka bumi.

Objektif Kehidupan Kita

Menyedari objektif agung kewujudan kita di muka bumi ini untuk memakmurkan dunia ini dengan kalimah ikhlas, la ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah, moga-moga dengan merelakan diri melalui proses tarbiyyah islamiyyah kita berjaya pulang kepada Allah dalam keadaan Allah redha kepada kita, dalam keadaan visi dan misi kita tercapai.

Aduhai teman-temanku, marilah kita harungi proses tarbiyyah islamiyyah harakiah ini dengan kekuatan iman, ukhuwwah dan persediaan-persediaan zahir (senjata). Ingatlah, andai kita mengundur diri dari medan dakwah dan tarbiyyah ini maka Allah akan gantikan kita dengan orang-orang yang lebih ikhlas dan lebih bersedia dari kita. Renungilah ayat Allah:
 )) لَوْ كَانَ عَرَضاً قَرِيباً وَسَفَراً قَاصِداً لاَّتَّبَعُوكَ وَلَـكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ(( [التوبة : 42[

Maksudnya: Kalaulah (yang kamu seru kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang ditujui itu terasa sangat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah, ”jikalau kami sanggup nescaya kami berangkat bersamamu”. Mereka membinasakan diri sendiri dan Allah mengetahui bahawa mereka benar-benar orang-orang yang berdusta. (AL-Taubah:42). Wallahu’alam bissawab. Astaghfirullahal’azim.

Perkongsian:
Zizi Azlinda Mohd Yusof

Comments

Popular posts from this blog

Petanda Suci Selepas Haid & Nifas

Solat & Wuduk Wanita Yang Bermasalah Keputihan

Part 2: Berkenalan dengan 3 Jenis Ubat Pencair Darah yang digunakan di Malaysia kepada Ibu Mengandung dan Selepas Bersalin