Nyah Kau Malas!!!


“Ya Allah, malasnya nak pergi kelas!”
“Arrgghh!!! Malasnya nak masuk pejabat!”
“Banyaknya baju tak basuh, berbaldi-baldi. Bilalah rajin nak membasuhnya?”
“Keciknya tulisan buku ni, makin buat aku malas nak baca!”
“Aku nak menulis, membaca, cari maklumat tapi malasnya! Esoklah!!!”

Keluhan-keluhan yang biasa kedengaran dari bibir segelintir manusia yang diberi fakulti akal yang hebat, anggota badan yang sempurna dan kemudahan yang pelbagai di kiri dan kanannya. Namun masih sayangkan sikap malas yang berkurung di dalam diri. Tidak mahu menjadikan malas itu musuh utama untuk dibenamkan sedalam-dalamnya ke dasar bumi atau ke tengah-tengah lautan. Bahkan, bukan sahaja perlu dibenamkan masalah malas itu, malah wajib ke atas insan menghapuskannya sebelum ia menjadi darah daging. Tiada perkataan malas di dalam kamus seorang muslim. Apatah lagi bagi seorang penyeru manusia ke jalan Allah. Sesungguhnya, malas melemahkan ’himmah’ seorang Muslim Musleh. Apabila tidak dihalang dari merebaknya racun kemalasan dan kelemahan ini, maka lihatlah maruah Islam tercemar dan tercalar di sana sini.

Merujuk Kamus Dewan Edisi Tiga, malas mempunyai dua maksud:
1. Tidak mahu berbuat apa-apa (bekerja dll), segan, lawan rajin: aku tidak mahu menolong orang yg ~ bekerja spt kamu ini;
2. Tidak sudi, tidak suka, enggan, segan: kalau di tempat orang, jangan ~ bertanya

Mengikut takrif Little Oxford Dictionary Thesaureus ‘lazy’ bermakna : “Unwilling to work or use energy; done without effort or care”.

Ertinya: Tiada keinginan untuk bekerja atau menggunakan tenaga atau membuat kerja tanpa usaha atau perapian.

Merebaknya penyakit malas ini sebenarnya memberi kesan yang negatif terhadap hasil kerja seseorang. Pelajar-pelajar boleh gagal di dalam peperiksaan. Pekerja-pekerja boleh dibuang kerja sedangkan anak isteri di rumah kelaparan. Muslim yang malas juga akan menempelkan wajah yang buruk dan busuk terhadap imej islam. Apabila penyeru-penyeru di jalan Allah juga berbajukan malas, mereka akan menemui titik kerugian yang akan disoal Allah di mahkamah-Nya kelak. Na’uzubillah!

Kuat atau lemahnya seseorang itu terselindung di sebalik darjah kemalasan masing-masing. Saksikanlah! Para Nabi dan pengikut-pengikut mereka yang taat dan teguh imannya tidak sesekali membiarkan virus malas menguasai diri. Bahkan, mereka tidak ada masa untuk melayan perasaan malas. Mereka menyeru kepada Allah tidak kira pagi, petang, sakit, sihat, sempit atau lapang. Mereka tidak jemu-jemu membetulkan akidah kaum mereka biarpun kaum mereka malas melayan seruan yang Maha Benar itu.

Renungkanlah! Jiddiyahnya para utusan Allah hingga sikap malas tidak mengenali mereka. Sepatutnya, begitulah kita! Rasulullah SAW qudwah terbaik sepanjang zaman. Tidak melekat walau setitik dakwat kemalasan pada pakaian baginda. Baginda sungguh rajin dan amanah menyampaikan kebenaran dari Tuhannya. Siapa lagi insan yang layak kita ikuti dan contohi kalau bukan Junjungan Agung ini, Muhammad bin Abdullah. Baginda meninggalkan kita jejak-jejak yang amat manis untuk kita kutip dan amal.

Kadang-kadang penuh tertampal kata-kata motivasi di dinding bilik tidur kita. Tidak kurang pula ada yang diberi kelebihan memberi nasihat kepada orang lain. Namun, virus malas masih jadi penunggu yang setia di dalam diri. Apakah puncanya? Apakah penawar kepada penyakit malas ini?

Punca-punca malas
Antara punca-puncanya:-
1)    Tidak mempunyai matlamat yang jelas dalam kehidupan ini
2)    Tidak memperbaharui niat untuk cemerlang
3)    Membiarkan diri agar terjerumus ke dalam gaung kemalasan
4)    Tidak punya semangat atau motivasi yang jitu untuk mengejar misi
5)    Berkawan dengan mereka yang suka main-main dalam kerja
6)    Tidak berdoa untuk diberi kekuatan rajin dan semangat

Nyah kau malas!!! Tetap Bagaimana menghalau kemalasan?
Justeru, apakah penawar kepada racun malas ini? Mungkin boleh kita kongsikan bersama ilmu di bawah berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan kajian penulis. Senang sahaja. Penawarnya ada pada kita sebenarnya. Cuma kita tidak tahu menilai racunkah ia atau ubatkah ia?

PERTAMA: PERLU ADA MATLAMAT YANG JELAS DAN TEPAT

Seorang penembak tahu sasarannya di mana. Pemanah juga sangat sensitif dengan arah tuju yang patut ia halakan. Pemburu juga sangat arif mangsa buruannya. Jadi, apabila punya matlamat, manusia itu akan bangkit melihat dengan tajam ke mana harus ia tuju, di mana harus dia berhenti dan apa yang hendak dia capai. Seorang muslim mukmin perlu sedar matlamat hidupnya ialah beribadah kepada Allah Taala di mana sahaja dia berada dan apa sahaja yang dia lakukan. Berfirman Allah di dalam surah al-Dzariyat ayat 56;-
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ [الذاريات : 56[
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku”

Inilah matlamat termulia dan tertinggi seorang hamba Allah. Setiap muslim perlu tahu bahawa kejadiannya ada matlamat yang hendak dituju. Kelahirannya bukan tujuan main-main seperti yang dirakamkan di dalam surah al-Mukminun ayat 115;-

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثاً وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ [المؤمنون : 115[
“Apakah kamu kira Kami menjadikan kamu(untuk tujuan main-main) dan sesungguhnya kepada Kami kalian akan dikembalikan”

Bagi pelajar, mereka perlu ada target setiap kali menjelangnya peperiksaan. Target yang bersifat operasional dan logik. Tidak perlu terlalu mendadak meletakkan matlamat yang terlalu tinggi hingga melemahkan motivasi untuk menggapainya. Meskipun begitu, ia berubah mengikut orang. Ada juga yang lebih suka meletakkan matlamatnya setinggi bintang di langit, kerana terdetik dihatinya moga tersangkut di awan biru”.

Seorang lelaki merancang untuk berkahwin. Perlukah ditetapkan waktunya? Siapakah orangnya? Apakah ciri-ciri wanita yang bakal bersama-samanya melayari bahtera kehidupan bersama-samanya? Apabila sudah ditetapkan semuanya, nescaya seorang lelaki yang bertanggungjawab akan berusaha untuk memenuhi tuntutan syarak ini. Begitu juga dengan wanita. Bukankah matlamat itu akan mendorongnya bekerja lebih keras?

Begitu juga dengan pekerja samada baru hendak mencari kerja atau sudah lama bekerja. Malah bagi seorang yang sudah bekerja, motivasi perlu lebih tinggi kerana kerajinan mereka menjadi ’asbab’ untuk sesuap nasi. Mungkin motivasi terbaik yang perlu di letakkan ialah “HARI INI MESTI LEBIH BAIK DARI SEMALAM!”

KEDUA: PERBAHARUI NIAT SETIAP PAGI
Perkara ini jarang diambil berat. Niat di pagi hari amat penting bagi seseorang. Seorang muslim sepatutnya mengambil masa walau sekejap selepas solat subuh berfikir dan perbaharui niat mereka. Pagi-pagi yang dilalui perlu dilalui dengan niat yang ikhlas dan murni untuk menjadi seorang hamba yang cergas dan kuat. Tidak lembik dan lemah. Selalu tidur dan buang masa tanpa tujuan. Niat akan memandu gerak geri kita setiap hari.

“Hari ini, aku nak perbanyakkan zikir dan fikir!”
“Hari ini, aku nak jadi seorang yang paling baik!”
“Hari ini aku tidak mahu banyak tidur dan banyak makan!”

Insya ALLAH, dengan niat yang ikhlas, Allah Taala akan bimbing dan pandu kita kepada matlamat kita walaupun ujian dan godaan datang menghalang untuk menguji keikhlasan niat kita. Allah akan menunjuki mereka yang hajatkan kebaikan.

KETIGA: PERANG BESAR DENGAN MALAS 
’Mind setting’ amat mustahak dalam peperangan besar ini. Minda perlu berperanan mengaktifkan peperangan besar ini. Bagaimana musuh yang kita isytihar perang besar dengannya sewenang-wenangnya boleh mengalahkan kita dalam perlawanan itu? Pelik. Kita sendiri yang mengaku kalah? Membiarkan musuh kita pula yang menumbuk-numbuk, membelasah, menyepak terajang kita tanpa kita membuka sebarang pencak silat kita? Pencak motivasi kita yang berapi-api dibiarkan padam. Kita bakal berasa parah dan barah jika dibiar darah ’menangguh-nangguh kerja’ membuak-buak keluar dari badan kita. Seorang Muslim apatah lagi seorang penyeru di jalan Allah tidak boleh membiarkan hal ini terjadi ke atas diri mereka. Mereka adalah pemimpin alam ini. Mereka harus perang besar dengan kemalasan. Bagaimana mahu jadi pemimpin dunia jika malas mengkaji dan membangunkan manusia sekeliling? Jadi, kita sudah tiada masa. Sekarang waktu kecederaan. Ummat Islam perlu isytihar perang besar dengan malas!

KEEMPAT: MEMBACA BAHAN-BAHAN MOTIVASI DIRI
Membaca satu habit yang mulia. Apabila kita membaca, buku atau tulisan itu seolah-olah sedang berbicara dengan kita. Carilah buku-buku yang membina keyakinan diri dan boleh menaikkan semangat kita. Membaca mampu menghadiahkan kita hasil yang positif andai kita mengamalkan sungguh-sungguh apa yang ditulis. Kadang-kadang apabila membaca bahan-bahan muhasabah diri, ia mampu membuatkan air mata mengalir. Setelah air mata dikesat, motivasi untuk buat yang terbaik akan hadir, Insya Allah.


KELIMA: TEKAN BUTANG MOTIVASI DALAM DIRI
Setiap orang ada butang-butang motivasi tersendiri. Ada orang dengan membaca buku dan bahan-bahan motivasi, melihat warna-warna yang ceria, bina slogan motivasi di dalam diri, ingat perit jerit orang tua berkorban demi kejayaan kita. Sebaik-baik butang motivasi bagi seorang muslim ialah Allah dan Rasul-Nya. Bukalah Al-Quran, carilah ayat-ayat penenang jiwa. Insya Allah akan dijernihkan kekeruhan di jiwa nan lara.

KEENAM: MENCARI KAWAN-KAWAN YANG BERMOTIVASI
Hidup kita memerlukan manusia lain dan manusia lain juga memerlukan kita. Insan-insan yang beriman di sekitar kita amat memainkan peranan untuk menghidupkan hati yang mati dan lesu. Dengan melihat atau berbincang dengan sahabat-sahabat yang punya motivasi dalam hidup mereka sebenarnya boleh menempiaskan inspirasi kepada kita juga. Melihat caranya berjalan, belajar, bercakap dan berfikir mampu menggerakkan sel-sel semangat dalam diri kita. Jadi, usah berlengah lagi. Carilah dan berkawanlah dengan mereka yang punya motivasi bukan dengan mereka yang suka tidur dan makan sahaja.

KETUJUH: BERDOA, SOLAT DAN SABAR
Doa adalah senjata mukmin. Tiadalah perisai bagi seorang muslim andai tidak dibekalkan dengan senjata doa. Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 45;-

وَاسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ [البقرة : 45[
Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat”
    (Surah al-Baqarah 2: 45)

Doa merupakan tempat pergantungan, pengharapan dan permohonan seorang hamba kepada Tuhannya. Kadang-kadang pelbagai usaha kita pertaruhkan untuk mendapatkan sesuatu hingga kadang-kadang kita terduduk menangis. Tiada lagi motivasi singgah di dalam diri. Letih dan lesu. Rupa-rupanya, insan itu terlupa dan terkurang doanya kepada Yang Esa. Terlupa dia untuk berdoa agar dikurniakan kekuatan dan semangat yang berpandukan kefahaman yang jelas. Jadi, banyakkanlah berdoa. Andai hati kita tengah lemah, mohonlah ditukar hati yang lebih hidup dan boleh menghidupkan hati orang lain.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ [البقرة : 186[
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan  orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah  mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran”
  (Surah al-Baqarah 2: 186)

Doa memohon dijauhkan dari kelemahan dan kemalasan:
اَللَّهُمَ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ, وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ العَجْزِ وَالْكَسَلِ, وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالبُخْلِ, وَ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدِّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
“Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, kedekut dan aku berlindung kepada-Mu daripada lilitan hutang dan tekanan orang” (Hadith Riwayat Abu Daud)

Sekadar perkongsian untuk diri yang selalu lupa.

Zizi Azlinda Mohd Yusof. 

Comments

Popular posts from this blog

Petanda Suci Selepas Haid & Nifas

Solat & Wuduk Wanita Yang Bermasalah Keputihan

Part 2: Berkenalan dengan 3 Jenis Ubat Pencair Darah yang digunakan di Malaysia kepada Ibu Mengandung dan Selepas Bersalin