Daruratkah Doktor Muslimah membuka auratnya?


Aurat seorang muslimah seperti yang disepakati ulama ialah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Tidak kiralah siapa dia, doktor, jurutera, bomba, guru atau pemimpin negara. Bagi doktor muslimah di dalam Operation Theater (OT), dikatakan tudung faktor terbesar penyebar bakteria. Manakala good hygiene (kebersihan yang baik) amat dititikberat dalam OT. Jadi, benarkah darurat bagi seorang doktor muslimah membuka auratnya di dalam OT dengan memakai sut uniform berbaju T yang mendedahkan lengan, berseluar pyjama dan topi seperti shower cap yang menampakkan batang leher dengan alasan tudung faktor terbesar penyebar bakteria? Mengikut etika pemakaian dan kebersihan doktor di dalam OT, doktor diwajibkan membasuh kedua-dua tangan mereka dengan air bersih atau air panas, mesti memakai sut uniform OT sahaja dan semua pakaian lain dari luar mesti ditanggalkan. Tiadakah solusi kepada doktor muslimah yang bekerja di hospital kerajaan ini terutama di negara Malaysia yang diktiraf negara Islam? Sebelum menggunakan alasan darurat, marilah kita fahami bersama takrifan darurat dan syarat-syaratnya.
Takrifan Darurat
Darurat ditakrifkan sebagai takut kemusnahan atau kerosakan yang parah kepada keperluan (al-dharuriyat) diri atau orang lain, samada secara yakin atau tidak yakin (dzan) sekiranya tidak melakukan apa yang boleh menolak kemusnahan atau kerosakan yang teruk itu.(Jamil Muhammad Mubarak, Nazhariyah al-Dharurah al-syar’iah hududuha wa dhaqabituha)
Sebelum darurat dijadikan alasan membuka aurat, ketahuilah limitasi darurat itu dikemaskan untuk menjaga salah satu dari maqasid syariah yang lima iaitu hifzu al-deen (memelihara agama). Perintah menutup aurat dalam apa jua keadaan termasuk dalam hifzu al-deen. Bahkan hifzu al-deen menduduki hak yang paling utama untuk dilindungi.
Satu kaedah fiqh:´Idha ta’arada mafsadatani ruu’iya ´a’zamuhuma dararan bi ´irtikabi ´akhaffihima
(Apabila bertembung dia keburukan, keburukan yang lebih besar diraikan dengan mengelakkan keburukan yang kurang)
Maksudnya, apabila bertembung dua keburukan yang akan terjadi contohnya, keburukan 1 ialah aurat tergadai. Keburukan 2 ialah dibuang profesion doktor akibat melanggar prosedur hospital yang mengarahkan membuka beberapa bahagian aurat. Sudah pasti keburukan 1 lebih besar dari keburukan 2 kerana memelihara aurat bererti memelihara agama yang paling utama. Jika kehilangan profesion sebagai doktor, tidaklah berapa besar keburukannya. Mungkin boleh mencari kerjaya lain. Itu jalan mudah.
Sekiranya alasan jangkitan bakteria dilontarkan jika memakai pakaian luar, di sana hujah itu boleh dipatahkan dengan mencari jalan keluar yang lebih kreatif seperti yang dilakukan oleh beberapa orang doktor muslimah mujahidah yang tabah dan tekad menjunjung maruah auratnya di mana sahaja beliau berada walaipun di dalam seperti:
1)    Memakai handsock panjang dan kain tudung yang diperbuat daripada sterilie material.
2)    Hanya memakai tudung yang baru dibasuh sewaktu di dalam OT. Tidak ada alasan jangkitan bakteria.
Buat para doktor muslimah,
1)    Bersatu-padulah dalam satu suara memorandum (MoU) diajukan kepada kerajaan Malaysia agar mencipta satu kod pakaian yang mampu menutup aurat dengan sempurna kepada seluruh doktor muslimah di Malaysia sebagai Negara islam. Contohnya, kerajaan Malaysia menyediakan pakaian khusus daripada sterile material yang mana akan dihimpunkan bersama-sama dengan sut uniform OT untuk proses sterealisation.
2)    Menerangkan kepada pihak tertinggi hospital tentang perintah aurat terhadap wanita Islam di mana sahaja berada termasuk di dalam OT. Sebahagian doktor muslimah di negara Eropah dengan beraninya menerangkan kepada pihak hospital tuntutan aurat wanita Islam, selepas itu mereka dibenarkan menutup aurat. Hospital di Manipal, India juga membenarkan doktor muslimah memakai pakaian tambahan diperbuat daripada sterile material di dalam OT. Bagaimana dengan hospital-hospital kerajaan di Malaysia?
Ingatlah, aurat ialah maruah diri seorang muslimah. Ibarat mahkota yang wajib dijaga dengan begitu cemerlang. Para doktor muslimah, kalian akan kuat dalam satu barisan menyuarakan suara hati kalian untuk berhijab dengan sempurna, selesa dan tenang dalam menjalankan amanah. Bangkitlah!

Zizi Azlinda Mohd Yusof

Comments

Popular posts from this blog

Petanda Suci Selepas Haid & Nifas

Solat & Wuduk Wanita Yang Bermasalah Keputihan

Part 2: Berkenalan dengan 3 Jenis Ubat Pencair Darah yang digunakan di Malaysia kepada Ibu Mengandung dan Selepas Bersalin