Syaitan Bersarang Di Jiwa Yang Lemah


“Arghh! Malasnya nak pergi kelas!”
“Buat dosa kecik tidak apa kot, jangan buat dosa besar sudah!”
“Kenapa hidup aku sentiasa malang? Kenapa dia sentiasa bertuah? Tuhan tidak sayangkan aku ke...”
“Allahhh, lusa kena hantar assignment, minggu depan peperiksaan, esok je la mula buat, hari ini nak tidur sepuas hati dulu!”
“Zaman muda sekali sahaja, apa lagi, kita enjoy! Nanti dah balik haji, baru ulang-alik ke masjid.”
Wahai pembaca-pembaca yang budiman,
Pernahkah bibir kita berkata-kata seperti dialog di atas? Sebenarnya, banyak lagi kata-kata yang tanpa disedari menggambarkan kelemahan jiwa orang yang berkata-kata. Kata-kata yang negatif keluar dari bibir orang yang berjiwa lemah. Manakala, kata-kata yang positif keluar dari bibir orang yang berjiwa besar. Pernahkah kita mendengar mutiara kata, orang yang rajin mencipta kejayaan, orang yang malas mencipta alasan? Alangkah tepatnya perumpamaan ini. Tanpa disedari, musuh ketat orang beriman iaitu syaitan laknatullah gemar sekali mencari sarangnya untuk dihuni di dalam jiwa-jiwa yang lemah ini. Syaitan dan keturunannya telah lama ber ‘aku janji’ di hadapan Allah yang Maha Berkuasa untuk menyesatkan hamba-hamba Allah kecuali orang-orang yang ikhlas setelah dia telah diusir dari syurga Allah dek kesombongannya.
“Iblis berkata: ‘Demi kekuasaan-Mu (Wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka’” (Surah Shaad 38: 82-83)
Siapakah mereka yang berjiwa lemah? Di bawah antara senarai mereka yang tergolong dalam golongan lemah jiwa.
·         Orang yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
·         Orang yang acuh tak acuh dengan perintah Allah dan Rasulullah.
·         Orang yang suka bertangguh-tangguh.
·         Orang yang gemar mencipta alasan
·         Orang yang ego yakni enggan tunduk kepada kebenaran
·         Orang yang tidak mahu mengaku kesilapan diri
·         Orang yang tamak
·         Orang yang malas
·         Orang yang mudah marah atau panas baran
·         Orang yang banyak tidur, ketawa dan bercakap perkara sia-sia
·         Orang yang sayang dengan kelemahan diri
·         Orang yang jahil atau tidak berilmu
·         Orang yang sentiasa mengeluh nasib diri dan tidak bersangka baik dengan takdir
Dengan kata lain, orang-orang yang berjiwa lemah ialah mereka yang mengurung di dalam diri mereka sifat-sifat mazmumah. Jiwa-jiwa seperti inilah yang sering menjadi intaian syaitan dan iblis untuk dihuni. Wal ‘iyazu billah min dzalik!
WASPADA DENGAN UJIAN HIDUP!
Dunia fana ini ialah medan ujian setiap manusia. Ayat suci al-Quran, surah al-Mulk ayat 2 menyingkap hakikat ini:
Mafhumnya yang berbunyi:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk MENGUJI dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat).”
Ujian hidup hadir dalam dua situasi; kesenangan atau kesusahan. Melalui pengalaman dan pengamatan penulis setakat hari ini, jika seseorang itu dihadapkan dengan ujian hidup tidak kira berbentuk kesenangan atau kesusahan, tambahan pula, seseorang itu tidak mengembalikan pujian ketika senang kepada Allah dan tidak bersangka baik kepada Pemberi Ujian tersebut yakni Allah SWT ketika susah, maka jiwanya boleh menjadi lemah, lemah dan semakin lemah.
Contoh berdepan dengan ujian kesusahan:
“Aku sudah usaha sungguh-sungguh nak jadi seorang yang berjaya, tetapi kenapa asyik gagal? Mungkin aku dilahirkan untuk gagal. Tuhan tidak sayangkan aku.”
Contoh berdepan dengan ujian kesenangan:
“Aku dah ada rupa, dah ada duit, dah ada kereta besar, orang pun suka berkawan dengan aku, aku ada segala-galanya. Tidak perlu habiskan duit untuk orang lain. Orang lain? Biarlah mereka usaha sendiri pula.”
Tatkala hati mula berbicara demikian, syaitan dan konco-konconya mula mengintai-intai peluang untuk menghuni dan mendiami jiwa seperti itu.
SAKIT MENGUNDANG SYAITAN?
Perasan atau tidak, manusia yang apabila diuji dengan sakit fizikal dan tidak mempunyai jiwa yang kuat juga boleh mengundang syaitan menghuni di lubuk hatinya. Ketika badan lahiriah kita dilanda musibah contohnya patah kaki atau tangan, sakit gigi, gastrik, migrain, sakit perut dan bagi wanita pula, ketika berada dalam pantang selepas bersalin dan ketika haid, renungkanlah betapa tangkasnya musuh ketat kita, syaitan mencari peluang bersarang di jiwa-jiwa yang sedang sakit. Hal ini lantaran syaitan mengetahui bahawa jiwa-jiwa lemah seperti itu amat mudah dimasuki tanpa bersusah-payah. Sudahlah fizikalnya sakit ditambah pula dengan sakit batinnya. Jadi, apakah penawarnya? Penawarnya ialah sentiasa senyum dan positif dengan ujian kesakitan tersebut. Al-Quran, zikir, doa dan membaca buku-buku agama tetap diteruskan.
MALAS VS JIDDIYYAH
Penyakit malas dan bertangguh-tangguh amat digemari oleh syaitan dan iblis. Jiwa seperti ini seolah-olah menjemput syaitan bersarang di dalam jiwa. Justeru, apa penawarnya? Penawarnya ialah rajin, bersungguh-sungguh (jiddiyah) dan tidak bertangguh. Tahukah kita bertangguh-tangguh membuat kerja hari ini ke hari esok lambang si pemilik jiwa lemah (futur)? Jadi, mulai dari detik, marilah bersama-sama kita memasang niat untuk menjadi seorang yang rajin, jiddiyah dan tidak bertangguh! Ketahuilah, malas itu melemahkan kredibiliti diri. Semoga Allah memberi kekuatan. Amin.
Akhirnya, ajaran Islam menyuruh kita menghubungkan segala-gala situasi kita kepada Allah SWT dan mengamalkan Islam dengan sempurna. Insya Allah, terusirlah syaitan durjana dari bersarang di jiwa yang lemah. Wahai insan, carilah jiwa yang jiddiyah agar terusir syaitan-syaitan yang sedang enak bersarang dalam jiwa kita. Ayuh!
Zizi Azlinda Mohd Yusof.

Comments

Popular posts from this blog

Petanda Suci Selepas Haid & Nifas

Solat & Wuduk Wanita Yang Bermasalah Keputihan

Part 2: Berkenalan dengan 3 Jenis Ubat Pencair Darah yang digunakan di Malaysia kepada Ibu Mengandung dan Selepas Bersalin