Keluarga Bertakwa, Keluarga Akhirat

“Apabila baik sebuah keluarga, maka baiklah sebuah ummah. Sebuah ummah ialah gabungan sekumpulan keluarga. Sebuah keluarga ibarat ummah yang kecil dan sebuah ummah ibarat keluarga yang besar.” -Hasan al-Banna-
Keluarga yang bahagia dan harmoni idaman semua insan. Dengan ikatan suci dan perkongsian hidup antara lelaki soleh dan wanita solehah meneraju bahtera keluarga, akan lahir zuriat pewaris yang beriman dan bertaqwa. Al-Quran menjadi panduan hidup utama. Sunnah Rasulullah SAW sebagai pegangan. Memandang dan menilai sesuatu dengan mata hati. Wawasan mereka wawasan akhirat. Akhlak mulia sebagai gaya hidup terunggul. Hubungan dengan Allah dijaga rapi dan hubungan dengan manusia sama diteliti. Itulah dia keluarga bertaqwa, keluarga akhirat!
Dr Majdi al-Hilali di dalam bukunya, ‘Our Homes As They Should Be’ mengatakan keluarga ialah kubu terpenting dan terakhir yang akan ditembusi musuh sebelum berada di medan perang! Betapa mustahaknya peranan keluarga membentuk peribadi dan sahsiah seseorang manusia tidak dapat dinafikan lagi. Hal ini kerana, ibu bapa yang bertaqwa mendidik dan membina suasana ketaatan di kalangan anak-anak mereka. Keluarga bertaqwa tidak akan berjaya dibina tanpa beriltizam dan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, meninggalkan maksiat dan akhlak buruk, mengimarahkan rumah dengan aktiviti keimanan dan bersih dari najis-najis syaitan.
Bagaimana Membina Keluarga Bertaqwa, Keluarga Akhirat?
1.    Bekerjasama di atas amal-amal keimanan.
Antara amal-amal keimanan yang amat perlu dipelihara dan disuburkan dalam keluarga bertaqwa ialah memelihara ibadat wajib seperti solat di awal waktu, berpuasa dengan sempurna di bulan Ramadan, menggalakkan ibadat sunat seperti qiamullai, solat sunat rawatib, berpuasa sunat, menambah ilmu dengan bahan-bahan bacaan yang baik dan sebagainya. Amal-amal keimanan ini mampu menghidupkan hati dan menyedarkan perasaan untuk bertaqwa kepada Allah.
Mafhum hadith bermaksud:
“Allah merahmati seorang lelaki yang bangun di malam hari, kemudian dia solat dan mengejutkan ahli keluarganya.” (Hadith Riwayat Ahmad)
2.    Mendidik zuriat dengan didikan Islamiah.
Apabila berkeluarga, secara fitrahnya suami isteri berhajatkan kahadiran cahaya mata, penyeri rumahtangga. Anak-anak ibarat kain putih, terbentang bersih di hadapan ibubapa untuk dicorakkan bagaimana rupa. Keluarga bertaqwa mementingkan didikan islami secara total di dalam rumah mereka.
“(Tentulahmereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).” (Surah al-Nisa’ 4: 9)
Sudah terang lagi bersuluh, demi kebaikan anak-anak mereka, satu-satunya jalan ialah dengan bertaqwa kepada Allah. Menjalankan semua amalan dan aktiviti di dalam dan di luar rumah di atas jalan taqwa. Taqwa itu sebaik-baik dan bekal dan sebaik-baik penyelesaian.
Said al-Musayyib berkata kepada anaknya, “Duhai anakku, sesungguhnya aku menambah solatku kerana kamu dengan harapan aku dapat menjaga kamu dengannya. Kemudian beliau membaca ayat al-Quran, surah al-Kahfi, ayat 82 ‘dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh’”.
3.    Mementingkan kebahagiaan ahli keluarga.
Keluarga bahagia menjadi idaman semua insan. Bagi keluarga bertaqwa, bahagia itu berpunca dari keimanan kepada Allah yang menebal. Mereka hanya akan bahagia jika semua anggota keluarga beriman dan bertaqwa kepada Allah, namun jika ada salah seorang yang melanggar perintah Allah, maka kebahagiaan juga akan terjejas.
4.    Membina takut (khauf) kepada Allah.
Takut (khauf) kepada Allah ialah peribadi seorang hamba Allah yang sebenar. Takut dengan sifat-Nya Yang Maha Mengalahkan (al-Qahhar) dan juga azab-Nya yang keras jika berbuat maksiat. Ibu dan bapa yang bertaqwa mendidik anak-anak mereka bahawa Allah itu Maha Besar dan Maha Berkuasa. Jika berbuat dosa atau maksiat, boleh mengundang murka Allah. Jadi, anak-anak akan lebih berasa diawasi setiap tingkah laku mereka.
5.    Membina hubungan yang utuh dengan al-Quran.
Ibu bapa bertaqwa amat berpegang kuat dengan sumber pertama orang Islam iaitu al-Quran. Mereka sentiasa memantau hubungan anak-anak mereka dengan al-Quran. Mereka sentiasa memikirkan langkah-langkah untuk bersama-sama dengan al-Quran contohnya, membuat satu program berkaitan dengan al-Quran seperti wajib menghafaz surah-surah tertentu sebelum mendapat sesuatu yang diminta, membuat halaqah al-Quran selepas subuh setiap pagi dan bertanya secara spontan ayat-ayat yang menceritakan sesuatu perkara yang dilihat oleh anak-anak.
6.    Infak di jalan Allah.
Keluarga yang bertaqwa tidak akan meninggalkan amalan infak di jalan Allah. Ibu bapalah yang berperanan besar menggalakkan anak-anak berinfak dan bersedekah. Contohnya, menderma kepada yang memerlukan, bersedekah kepada yang meminta dan sebagainya. Mendidik anak-anak berinfak sejak dari kecil amalan yang sangat mulia. Amalan ini mendidik anak-anak bahawa jiwa seorang mukmin itu melimpah dengan kasih sayang terhadap saudaranya seiman dan juga mengajar anak-anak untuk tidak bersikap kedekut. Amalan infak ini memberitahu anak-anak Islam bahawa hidup ini perlu berkongsi bukan untuk memiliki seorang diri.
Ini hanya sebahagiaan langkah-langkah ke arah membentuk keluarga bertaqwa, keluarga akhirat. Mukmin muttaqi (bertaqwa) sentiasa mengisi setiap sudut rumah yang dihuni dengan solat, puasa, bacaan suci ayat al-Quran, mengamalkan sunnah Rasul-Nya, mengetuk pintu hati ahli keluarga dengan tazkirah dan muhasabah serta menjemput naungan sayap malaikat dengan majlis-majlis ilmu yang sentiasa aktif. Rumah inilah yang disaksikan para malaikat di kerajaan langit. Rumah inilah yang layak dibicarakan Allah kepada penghuni langit dan bumi kebaikan-kebaikan yang mereka lakukan. Masya Allah!
Selamat beramal!
Zizi Azlinda binti Mohd Yusof.

Comments

Popular posts from this blog

Petanda Suci Selepas Haid & Nifas

Solat & Wuduk Wanita Yang Bermasalah Keputihan

Part 2: Berkenalan dengan 3 Jenis Ubat Pencair Darah yang digunakan di Malaysia kepada Ibu Mengandung dan Selepas Bersalin